Sistem Keamatan/Intensifikasi Padi (System of Rice Intensification, SRI) bermula
dengan satu falsafah dimana tumbuhan perlu diberi keadaan yang sesuai dan
selesa untuk pertumbuhannya. Keadaan ini akan membolehkan tumbuhan tersebut
mengeluarkan potensinya yang sebenar. Namun, apa yang berlaku hari ini ialah,
kita telah menjadikan tumbuhan terutama sekali tanaman padi mengurangkan
potensi semulajadinya. SRI diperkenalkan bagi mengubah kaedah penanaman padi
tradisi bagi memberi ruang yang luas untuk tanaman padi memberikan pulangan
hasil yang tinggi.
Hasil yang tinggi tidak mustahil melalui SRI. Apa yang perlu
dilakukan oleh petani ialah penyediaan dan pengurusan tanah sawah, menanam anak
padi yang muda, mengawal dan memantau paras air, kualiti tanah itu sendiri dan
varieti padi yang ditanam sama ada sesuai atau tidak dengan kaedah ini.
Kaedah SRI tidak memerlukan sebarang input pertanian seperti
baja dan racun yang dibeli oleh petani. Peningkatan hasil boleh menjadi lebih
baik berbanding dengan tanaman padi yang bergantung kepada baja dan racun kimia
kerana padi SRI mempunyai struktur yang berbeza dengan lebih banyak anak (tillers)
dan sistem akar yang lebih besar untuk membantu penyerapan nutrien dari tanah.
Tanaman padi SRI juga mempunyai lebih banyak biji padi bagi
setiap tangkai (panicle). Perkara ini tidak mustahil kerana kaedah SRI
membantu tanaman padi menghasilkan lebih banyak anak berbanding kaedah
konvensional.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, SRI dapat membantu tanaman
padi menunjukkan potensi sebenarnya. Walaubagaimanapun potensi ini telah
terpendam kerana amalan penanaman padi konvensional yang digunapakai sejak
turun temurun. Kaedah SRI menjadikan asas tanaman padi sebagai panduan dimana
idea asal SRI ini digariskan.
·
Petani perlu terlebih
dahulu memahami idea ini. Kemudian mereka perlu memilih dan menilai amalan
tanaman sebelum ini yang akan memberi kebaikan kepada keadaan mereka. Setiap
petani adalah saintis dan penyelidik.
·
SRI mengubah struktur
tanaman padi – kepadatan dan bilangan anak dan akar – dengan mengubah amalan
biasa yang digunakan bagi menguruskan tanah, air dan tanaman bagi menjadikan
hasil yang lebih produktif.
·
Untuk tanaman padi
menjadi lebih produktif, beberapa kriteria yang diperlukan ialah;
- lebih banyak anak
(tillers),
- lebih banyak tangkai
(panicles) yang keluar dari batang,
- lebih banyak padi
daripada tangkai, dan
- padi yang lebih berat
dan berisi
Jika tanaman padi dijarakkan dengan jarak yang optimum di atara
satu sama lain, tanaman tersebut akan mempunyai lebih ruang untuk pertumbuhan.
Tanaman akan memperolehi cahaya dan udara yang lebih untuk mengeluarkan batang
dan pucuk. Lebih banyak batang yang subur, lebih banyak padi akan dihasilkan.
Selain itu, ruang yang besar akan menggalakkan pertumbuhan akar yang lebih
banyak dan kuat untuk menyerap lebih banyak nutrien dari tanah.
· Walaupun agak mengejutkan, sebenarnya ada peluang untuk
mendapatkan lebih hasil padi dengan menanam kurang pokok dan meletakkan mereka
dalam jarak yang sesuai, supaya tanaman padi lebih sihat dan subur.
"Kurang" boleh menjadi "lebih" kelihatan mustahil seperti
kata pepatah Melayu "secupak tidak akan jadi segantang", tetapi
melalui SRI perkara ini tidak mustahil.
· Untuk tumbuhan hidup dengan subur di atas tanah, sistem akar
yang sihat diperlukan di bawah tanah. SRI membantu tumbuhan mempunyai sistem
akar yang besar di bawah tanah dan pertumbuhan batang (tillers) yang lebih
banyak di atas tanah.
· Menanam padi secara rapat dan padat membazirkan benih. Individu
tanaman akan menjadi lebih kecil dan kurang produktif. Menanam anak benih yang
matang/tua pula akan mengurangkan potensi.
· Dengan teknik SRI, petani dapat melihat perubahan ketara dan
dengan mudahnya memperolehi 50 batang (tillers) daripada satu anak pokok, dan
ada juga petani yang menggunakan kaedah ini mendapat 100 batang dari satu anak
pokok.
· Petani berpeluang untuk mendapat sehingga 200 biji padi bagi
setiap batang yang mengeluarkan tangkai. Ada juga petani yang mendapat sehingga
400 biji padi.
Ini menunjukkan SRI bukannya satu keajaiban. Apa yang dibuktikan
oleh sistem ini ialah pengurusan tanaman, tanah dan air yang baik yang
membolehkan tumbuhan hidup subur dan mengeluarkan potensinya untuk menghasilkan
produktivitis yang tinggi.